06 May 2012

Manfaat Dan Kelebihan Perkhidmatan Pegawai Tadbir Diplomatik - PTD

Perkhidmatan Pegawai Tadbir Diplomatik menawarkan pembangunan kerjaya yang menarik. Dari sudut penempatan peluang untuk mengikuti latihan dan kursus dalam perkhidmatan juga cukup terbuka luas. Dari segi kenaikan pangkat pula, walaupun tidaklah terlalu baik tetapi masih tergolong dalam kategori perkhidmatan yang teratas dari segi peluang kenaikan pangkat. Latihan dalam perkhidmatan banyak disediakan sehingga ke peringkat Ph.D. Bagi merancang dan menggubal satu pelan pembangunan PTD, Jabatan Perkhidmatan Awam telah menubuhkan Unit Strategik pada awal tahun 1999 di bawah Bahagian Perkhidmatan.

Perkhidmatan PTD menyediakan peluang latihan dan kursus yang banyak. Ini termasuklah peluang mengikuti ijazah Sarjana dan Ph.D di dalam dan luar negeri. Hal ini memandangkan dasar latihan perkhidmatan PTD adalah untuk membentuk pegawai-pegawai yang berpengetahuan, berwibawa dan mahir dalam bidang masing-masing serta bersifat versatile selaras dengan fungsi tugas pegawai PTD.

Aspek latihan PTD memang dititikberatkan dari peringkat awal lagi. Ini terbukti apabila pegawai PTD adalah disyaratkan mengikuti kursus sijil Diploma Pengurusan Awam (DPA) sebelum disahkan dalam jawatan. Pegawai-pegawai PTD seterusnya akan diberi latihan semasa dalam perkhidmatan seperti kepimpinan, perancangan strategik, pengurusan sumber manusia, kewangan, negotiation skill, teknologi maklumat dan pelbagai lagi. Pegawai-pegawai PTD cemerlang akan ditawarkan mengikuti kursus lanjutan peringkat Ijazah Sarjana dan Ph.D.

Pegawai-pegawai PTD yang menunjukkan prestasi kerja dan kebolehan yang unggul serta berpotensi boleh meningkat ke jawatan yang lebih tinggi dalam perkhidmatan awam. Ini termasuk mengisi jawatan JUSA seperti Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan jawatan-jawatan penting lain seperti Pengarah-pengarah Jabatan dan Pegawai Daerah dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran.

Isu-Isu Nasional Untuk Exam PTD M41

Berikut adalah tiga daripada sekian banyaknya isu nasional yang mungkin akan ditanya di dalam exam PTD. Ini adalah kupasan secara ringkas. Jadi sila luaskan pembacaan anda untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.

Isu 1 Malaysia

Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Isu NKRA

Pada 28hb April, PM telah mengutarakan Key Performance Indicator (KPI) atau Petunjuk Prestasi Utama, yang akan menjadi piawai kepada pencapaian anggota pentadbiran dan penjawat awam. KPI merupakan satu amalan penting dalam pengurusan prestasi untuk menilai dan mengukur sasaran yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi seperti kementerian atau agensi kerajaan secara objektif.

KPI telah diguna pakai oleh banyak syarikat korporat dan didapati sebagai radas timbangan kerja yang sangat berkesan. Malah, mekanisme ini juga diterima pakai dengan jayanya oleh kerajaan di negara-negara maju seperti Britain, Australia dan Kanada.

Isu PPSMI

Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.

Umum mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris.