SEJARAH terus dilakar penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza apabila dia terus mengungguli kategori Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) untuk kali ke-13 berturut-turut dan kembali merampas gelaran Bintang Paling Popular sebanyak tujuh kali, sekali gus mencatat rekod peribadi buat penyanyi jelita ini.
Bahkan rekod ini kelihatan seperti sukar untuk diatasi oleh mana-mana artis tanah air dalam.
Dengan memperoleh undian peminat sebanyak 225,300 jumlah undian, Siti dengan mudah mengetepikan pemenang tahun lalu, Nabil yang membawa pulang trofi anugerah Artis Komedi Popular. Malah, Siti juga mengetepikan saingan terdekatnya, Aizat yang turut disebut-sebut sebagai calon yang layak untuk menggenggam anugerah utama itu.
Selepas lima tahun anugerah itu bertukar tangan dan hanya menjadi milik artis lelaki, ibarat sirih pulang ke gagang, trofi yang menjadi idaman ramai itu akhirnya kembali menjadi milik penyanyi yang baru saja melancarkan produk kecantikannya sendiri berjenama SimplySiti. Usah terkejut dan tak perlu nak mempertikaikan keputusan yang sudah diumumkan itu kerana gelaran Bintang Paling Popular itu memang layak untuknya.
Bagi sesetengah pihak yang iri hati dengan kemenangan penyanyi ini, tentu dengan mudah menganggap trofi Bintang Paling Popular itu diberikan memandangkan Siti pernah menyuarakan hasratnya untuk berundur dari menyertai anugerah ini pada masa akan datang. Seakan memahami maksud yang tersirat, Siti menafikan perkara itu sekeras-kerasnya.
“Memang Siti pernah menyuarakan hasrat untuk tidak mahu lagi bertanding dalam anugerah ini pada masa akan datang. Tapi itu tidak bermakna, disebabkan keputusan itu, penganjur sengaja memberikan anugerah itu kepada Siti.
“Ini semua adalah usaha gigih dan kerja keras peminat yang tak jemu-jemu menyokong kerjaya saya. Mungkin disebabkan ini adalah tahun terakhir saya mahu dicalonkan membuatkan mereka ‘all out’ untuk mengundi Siti.
“Mengenai keputusan untuk tidak mahu lagi dicalonkan pada masa akan datang, memang Siti sudah nekad. Siti sudah pun memberitahu peminat Siti yang ini adalah kali terakhir Siti mahu dicalonkan dan nampaknya ada yang memahami dan bersedia menerima apa saja keputusan yang Siti buat. Namun tak kurang juga yang mempertikaikan keputusan itu.
“Apapun, tak perlu khuatir. Siti masih tetap menyokong penganjuran ABPBH sampai bila-bila. Banyak kenangan Siti dengan ABPBH dan acara ini juga memberi banyak pengajaran dan pengalaman berharga buat Siti dalam meniti perjalanan sebagai seorang anak seni. Siti masih boleh menjadi penyampai, membuat persembahan dan tetap hadir untuk memberi sokongan. Cuma bukan sebagai peserta yang bertanding. Itu saja,” ujar Siti ketika ditemui pada majlis pasca parti ABPBH 2009 yang berlangsung di Coffee Terrace, Hotel Genting, Genting Highlands, awal pagi semalam.
Sebagai Bintang Paling Popular, Siti membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM328,000 termasuk hadiah barang kemas Habib, Nissan X-Trail 2.0L, Perabot Empire Classic, Pakej Penginapan Mewah di Head Of State Suite Palace Of The Golden Horses.
Berita Harian Online Catat sejarah
No comments:
Post a Comment